BARU-baru ini laporan sebuah akhbar menyatakan mengenai layanan diterima ketika sesi pendaftaran Kursus Perguruan Lepasan SPM di salah sebuah Institut Perguruan.
Di sini saya ingin berkongsi pengalaman yang boleh dicontohi atau diambil pengajaran oleh Institut Perguruan lain ketika mendaftar anak saya di Institut Perguruan Kampus Tun Abdul Razak (IPTAR), Kota Samarahan, Sarawak.
Pada mulanya saya berasa susah hati dan bimbang apabila mendapat berita bahawa anak saya akan menjalani kursus perguruan di Sarawak.
Setiba saja kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kami disambut oleh salah seorang pegawai dan pelajar kampus terbabit dan dibawa terus ke kampus dengan diberi bilik untuk kami sekeluarga sementara menunggu hari pendaftaran.
Ketika pendaftaran pula, apa yang kami perhatikan pelajar junior disambut seperti menatang air yang penuh, sebaik keluar dari kenderaan, beg mereka terus diambil oleh pelajar yang bertugas, dilabelkan nama seperti di lapangan terbang dan diletakkan di dalam bilik khas.
Maka pelajar membuatlah pendaftaran tanpa rasa bimbang beg mereka hilang. Selesai saja mendaftar, pelajar baru kemudian dihantar ke asrama mereka oleh perwakilan yang bertugas. Selain kemudahan asrama yang lengkap dan bersih, layanan pelajar senior yang baik membuat hati gelisah dan bimbang, terus hilang dan saya berasa yakin dengan kampus ini.
Di sini saya ingin merakamkan jutaan terima kasih di atas segala pertolongan diberikan kepada kami, lebih-lebih lagi kepada Saimon, bukan saja bantuan ketika mendaftar malah sebelum kami datang pun kami sering bertanya.
Untuk mereka yang belum tiba ke Sarawak, jangan berani cakap pasal Sarawak. Sarawak negeri yang cantik, bersih dan pesat membangun. Rakyatnya ramah dan suka menolong orang. Semoga apa yang saya ceritakan ini menjadi contoh kepada semua.
JASA MU DIKENANG IPTAR,
Kuala Lumpur.
0 comments:
Post a Comment